Monday, October 19, 2009

Sejarah awal berkhatan (Malaysia)

(Artikel ini adalah tulisan saya sendiri berdasarkan kajian saya di dua buah tempat)

Assalamualaikum.

Tidak diketahui secara umum, bila tarikh atau masa sebenar amalan berkhatan dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun, kajian turut membuktikan bahawa ada kemungkinan amalan ini sudah bermula sejak kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi. Seperti yang kita sedia maklum, amalan berkhatan masyarakat Melayu, dipengaruhi dengan kepercayaan dari segi Islam.


Dalam amalan Islam, masyarakat arab rata-rata mengkhatankan anak mereka seawal 7 hari. Ini dipercayai memudahkan penjagaan selain itu ia tidak merumitkan ibubapa semasa mereka besar nanti. Berbeza dengan masyarakat melayu, amalan berkhatan lazimnya dibuat untuk kanak-kanak berusia lingkungan 10-12 tahun. Ada juga yang mengkhatankan anak
mereka semasa berusia 5
tahun.




"MUZIUM NEGARA MALAYSIA"

Saya sendiri telah ke Muzium Negara, membuat kajian umum sejarah awal berkhatan. Tiada bukti jelas bila ia mula diamalkan di Malaysia. Tetapi, amalan ini sebenarnya sudah sebati dalam kalangan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Berikut antara apa yang saya dapat di Muzium Negara (terima kasih)....

Pada zaman dahulu, berkhatan tradisioanal menggunakan buluh tajam.Tok mudim adalah orang yang bertanggungjawab dalam menjalankan upacara berkhatan ini. Jika dahulu, tok mudim adalah insan yang penting dalam sesuatu komuniti. Tarafnya sebaya dengan Tok Imam, Bilal, Ustaz dan seangkatan dengannya.

Pada zaman dahulu, boleh dikatakan setiap kampung mempunyai seorang tok mudim. Kemahiran tok mudim biasanya akan diwarisi oleh satu generasi ke satu generasi. Tok mudim biasanya menjalankan upacara berkhatan semasa cuti sekolah (kebiasaannya pada hujung tahun). Oleh itu, sementara menunggu cuti sekolah, lazimnya tok mudim akan bekerja sebagai petani atau penternak.

Jika dahulu, majlis berkhatan dibuat meriah selepas musim menuai. Mereka akan mengadakan majlis tersebut serentak dengan majlis Khatam Quran. Selain itu, majlis ini kebiasaan dibuat beramai-ramai dan kemeriahannya sama seperti majlis perkahwinan.

Berbeza pula di Istana. Majlis berkhatan untuk putera raja dibuat meriah, dan diisytihar antara hari kebesaran dalam negeri. Di Istana akan ada seorang mudim diraja. Mudim ini hanya berperanan mengkhatankan putera atau kerabat raja sahaja. Semasa upacara berkhatan, putera raja akan diselaputi dengan kain kuning dan acara ini disambut meriah dengan rakyat jelata. Ada juga negeri yang membuat perarakan diraja dimana putera akan dibawa sekeliling kawasan Istana.

Secara amnya berdasarkan pengamatan saya, masyarakat melayu amat mementingkan adat. Setiap yang mereka lakukan pasti ada sebab. Acara berkhatan secara tradisional memang sukar untuk kita lihat kini. Apatah lagi dengan pelbagai kaedah berkhatan yang jauh lebih cepat dan pantas.

Jika anda inginkan informasi, anda bolehlah datang ke Muzium Negara.Selain dari Muzium Negara, ada beberapa lagi Muzium di Malaysia turut mempamerkan amalan berkhatan seperti Muzium Diraja Kelantan, Muzium Terengganu dan Muzium Pulau Pinang (Insyallah, saya akan pergi nanti). Setelah tamat melawat Muzium Negara, saya bergerak ke destinasi kedua saya...

"FILEM NEGARA MALAYSIA"

Filem Negara Malaysia atau FNM adalah destinasi saya yang kedua. Kenapa?? Pada tahun 2003, FNM telah mengeluarkan satu dokumentari berjudul " Berkhatan: Meniti gerbang kedewasaan". Dokumentari ini telah menang pelbagai anugerah, termasuklah anugerah peringkat antarabangsa.

Saya telah membuat temujanji dengan pihak FNM untuk menonton dokumentari ini. Harapan saya supaya saya dapat sedikit gambaran mengenai amalan berkhatan masyarakat melayu. Alhamdulillah, video ini banyak membantu. Mungkin ia tidak terperinci, tetapi maklumat mengenai adat berkhatan ditunjukkan secara jelas.





(sedutan video: kanak-kanak dipangku semasa dikhatan)

Mengenai sejarah?? Ia tidak nyatakan. Ia cuma menyatakan bahawa masyarakat melayu sudah mengamalkan sejak zaman dahulu lagi. Amalan berkhatan ini sebenarnya sebagai satu simbol bagi kanak-kanak sebelum menuju alam kedewasaan.

Terima kasih pada tuan haji dan Cik Mazuria membantu. Sedikit sebanyak ada juga maklumat yang saya dapat melalui dokumentari ini. Insyaallah, maklumat ini saya akan kongsi dengan anda dalam artikel akan datang.

Anda boleh datang ke FNM untuk menonton video ini, tetapi buat mereka yang kuat semangat sahaja!!

Misi saya seterusnya ialah untuk melihat sendiri acara berkhatan yang dijalankan secara tradisional. Cuti sekolah sudah hampir tiba, sekiranya kawasan anda atau anda tahu mana-mana tempat yang akan mengadakan majlis berkhatan secara tradisional,
sila hubungi saya melalui e-mel : jariemas84@gmail.com

Terima kasih.

1 comment:

  1. boleh x saudara tunjukkan lagi gambar2 dalam filem tu..macam menarik jea......

    ReplyDelete