Friday, February 4, 2011

Penjagaan selepas berkhatan


Salam buat semua,

Mungkin entri ini agak lewat, maklumlah sudah masuk bulan ketiga pada tahun 2011, kebetulan pula ia bukanlah musim "memotong". Tapi saya akan tetap menulis supaya blog saya ini masih "bernyawa" dan kekal ke hujungnya.

Baiklah, penulisan seterusnya ialah mengenai Penjagaan selepas berkhatan. Saya menulis ini setelah membuat sedikit kajian secara online dan juga bertanya dengan beberapa orang tukang khatan di Malaysia. Mungkin penulisan ini boleh dijadikan panduan untuk mereka yang mempunyai anak yang akan dikhatankan pada cuti sekolah akan datang:-

1. Selepas kanak-kanak dikhatan, mereka seharusnya direhatkan. Kurangkan aktiviti lasak, dan jika boleh dibaringkan. Jika berada di majlis berkhatan, biarkan mereka berehat dalam tempoh sejam atau dua, selepas itu barulah dibawa pulang.

2. Jika keadaan kemaluan anak masih berdarah, tidak sempurna, sila rujuk kepada mudim ataupun doktor. Lazimnya semasa khatan secara tradisional, darah akan berhenti/kering secara semulajadi setelah 2-3 jam dikhatankan.

3. Jangan sesekali menggunakan ubat/ minyak yang tidak disarankan oleh doktor/mudim. Biasanya doktor akan memberikan ubat tahan sakit, minyak atau krim yang perlu disapu selepas proses berkhatan.

4. Berpantang mungkin baik. Tapi harusnya makanan diberikan adalah dari sumber yang sihat. Makanan seperti ikan, sayuran dan buah adalah baik dalam membantu proses penyembuhan.

5. Semasa proses membuka balutan, adalah proses paling sukar kerana kanak-kanak akan merasa kesakitan akibat luka yang baru kering. Cara terbaik ialah menggunakan minyak gamat, dan sapukan kepada bahagian kain. Jika proses ini sukar bagi ibubapa, sila rujuk kepada mudim/ doktor untuk proses seterusnya. Setelah kain pembalut luka ditanggalkan, sapukan krim/gel gamat untuk proses penyembuhan dengan lebih cepat.

6. Memakai kain sarung / pelikat adalah cara terbaik untuk mengelakkan dari kemaluan cedera selepas berkhatan. Pemakaian seluar lebih baik selepas 3-4 hari selepas berkhatan. Itupun sekiranya luka berkhatan benar-benar kering, dan seluar harusnya jenis longgar.

7. Pemeriksaan harusnya dilakukan secara berkala. Paling penting ialah kebersihan. Semasa mandi, elakkan daripada bahagian khatan terkena air, dan sentiasa pastikan kanak-kanak tidak berada di luar rumah dalam tempoh yang lama.

8. Kawal anak anda terutama jika mereka jenis tidur lasak atau "buas". Mungkin anda boleh gunakan tali khas diikat dari siling rumah. Kurangkan pergerakan seperti bermain bola, melompat, atau berlari.

9. Kanak-kanak lazimnya akan sembuh dalam tempoh 5-7 hari selepas berkhatan. Jika dikhatan secara tradisional sekalipun, kanak-kanak tetap akan sembuh dengan cepat jika tidak ada sebarang komplikasi ataupun bentan. Jika ada komplikasi seperti bentan, atau pendarahan, sapukan ubat luka terlebih dahulu. Dan jika keadaan berlarutan, bawalah anak anda berjumpa Mudim/ Doktor dengan segera.

10. Petua tradisional adalah dengan menggunakan buah limau nipis dan dibiarkan kanak-kanak mencium bau limau tersebut selama beberapa minit. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kanak-kanak pitam atau berasa mual. Petua ini boleh diamalkan selepasa sahaja proses berkhatan dilakukan.

Ini antara beberapa tips yang boleh dikongsikan bersama. Selepas sembuh sepenuhnya, kanak-kanak akan menjadi matang, dan sudah mula menjaga aibnya sendiri. Mungkin inilah antara hikmah berkhatan.

Jika anda mempunyai sebarang idea untuk dikongsi, silakan. Oh ye, cuti sekolah makin hampir, ada majlis berkhatan ingin dikongsi, silakan...

jariemas

No comments:

Post a Comment