Dah lama saya tak kembali menulis blog ini? Ada juga yang email secara peribadi bertanyakan mengenai beberapa perkara berkaitan berkhatan. Ingin saya jelaskan disini, saya bukan TOK MUDIM. Saya juga bukan Doktor, Saya tidak ada sebarang kelulusan untuk khatankan orang.
Koleksi peribadi |
Pengenalan:
Tidak dinafikan, saat berkhatan adalah saat paling trauma bagi kaum lelaki Muslim. Apa tidaknya, nak berhadapan dengan kesakitan, sakit bukan semasa berkhatan, tapi selepas berkhatan. Berkain pelikat, berpantang, dan macam-macam lagi. Mungkin ada dalam kalangan ibubapa sudah berfikir waktu sesuai untuk khatankan anak mereka. Budaya masyarakat Melayu, zaman 60an dahulu, rata-rata berkhatan ketika usia 12 tahun ke atas. Kiranya dalam proses akil baligh.
Berbeza pada zaman saya, rata-rata berkhatan sekitar usia 10-12 tahun. Zaman tengah gila main bola sepak dan kejar-kejar. Sekitar tahun 2010 ke atas banyak ibubapa mengkhatankan anak mereka dalam usia 7-9 tahun, dan ada juga dah khatankan anak mereka sekitar 5-6 tahun (masa tadika).
Penulisan saya lebih berkisar pandangan peribadi. Jadi, anda sebagai ibubapa boleh memilih usia mana terbaik untuk khatankan anak anda. Jadi, ambil sahaja lah panduan, mungkin boleh digunakan dalam perbincangan anda.
Usia bayi (0-2 tahun)
Usia ini adalah paling popular dalam kalangan masyarakat arab. Berkhatan semasa bayi dikatakan paling senang dari penjagaannya. Malah, ia juga dapat mengelakkan trauma effect yang lazimnya berlaku ke atas kanak-kanak
Tidak semua hospital/klinik menyediakan perkhidmatan khatan ke atas bayi. Harganya juga lebih mahal sedikit berbanding kaedah normal. Kaedah tradisional? Kalau ikutkan memang tidak ada. Susah kecuali kaedah tradisional yang dilakukan oleh orang Yahudi. Sekadar berkongsi, masyarakat Yahudi memang khatakan anak mereka semasa bayi. Ia dilakukan oleh "Mohel" dan kaedah ia digunakan tanpa bius.
Contra pada usia ini - kalau tanya saya, hilang satu pengalaman mengenai berkhatan. Dah tau, besar-besar dah pun bersunat. Huhu. Mungkin ia bagus dari penjagaan, tapi pengalaman berpantang, dapat duit, kenduri semua itu tidak ada (sebab tak ingat kerana kita masih bayi). Saya rasa amalan ini sesuai dilakukan sekiranya anak/bayi tersebut mempunyai masalah dari segi saluran kencing.
Usia Kanak-kanak (3-6 tahun)
Sumber : Google |
Waktu ini adalah waktu zaman kanak-kanak sedang nakal dan aktif. Masa ini masih lagi "hijau". Kebanyakan tukang khatan tidak mencadangkan masa ini. Kenapa? Kerana masa ini kanak-kanak masih belum mengerti kenapa mereka perlu dikhatan, dan ia boleh menimbulkan trauma kepada kanak-kanak tersebut.
Kebanyakan kanak-kanak pada usia ini akan sukar memberikan kerjasama, dan disebabkan itu, cara "paksaan" diberikan untuk dikhatankan. Usia ini baik / boleh dilakukan sekiranya anak anda bukan jenis aktif, atau senang berikan kerjasama. Dari segi penjagaan, sedikit mencabar kerana usia ini anak-anak sudah mula aktif. Tapi kebaikannya, boleh dilakukan diluar cuti sekolah kerana anak-anak masih belum sekolah.
Usia kanak-kanak (7-10 tahun)
Sumber : RCT Sunathrone |
Usia ini adalah yang paling popular pada masa sekarang. Kanak-kanak masa kini sudah sedikit matang dan faham kenapa mereka perlu berkhatan. Namun tidak semua begitu. Jika jenis manja atau tidak faham, mereka juga sukar untuk berikan kerjasama yang baik.
Kaedah tradisional paling ideal pada usia begini. Disebabkan saiz "punai" ideal, dan mudah untuk dikhatankan. Dari segi penjagaan juga lebih mudah kerana kanak-kanak masa usia begini jenis tak cerewet bab makan. Namun disebabkan kanak-kanak usia begini sudah memulakan alam persekolahan, ia perlu dilakukan ketika cuti sekolah. Menariknya, ibubapa boleh buat kenduri atau program khatan beramai-ramai.
Usia kanak-kanak (11-12 tahun)
Sumber : Google/Kaedah tradisional 90an |
Usia ini juga adalah usia peralihan kepada lebih matang. Kanak-kanak berkhatan pada usia ini akan lebih faham dari segi penjagaan selepas berkhatan. Kaedah tradisional juga sesuai dibuat waktu ini kerana kanak-kanak lebih mudah beri kerjasama, dan boleh menahan sakit (sebab kaedah tradisional tidak ada bius). Tapi dalam masa kini, kebanyakan kanak-kanak dikhatankan sekitar usia begini mungkin trauma ketika berkhatan awal, kes kulup tak habis atau "buta".
Usia remaja (13-18 tahun)
Amat jarang sekali dibuat di Malaysia. Jika dibuat mungkin lebih tertutup. Amalan ini sebenarnya popular di Afrika. Jika ditanya saya, usia ini tidak begitu sesuai. Dua faktor - kerana sudah akil baligh, dan saiz "punai" besar dan menyukarkan proses penyembuhan.
Ada kes selepas berkhatan, remaja perlu mengelakkan punai menegang, jika tidak ia akan menyakitkan dan lambat proses sembuh. Tapi dah alam remaja, boleh elak dari anu kita tak tegang..betul tak?
Usia dewasa
Ini popular bagi masyarakat bukan islam. Saya pernah kenal kawan-kawan cina saya yang turut bersunat selepas usia dewasa. Khatan dewasa lebih tertutup, dan privasi. Ada yang berkhatan disebabkan masuk islam dan ada berkhatan atas faktor kebersihan.
Kaedah digunakan juga berbeza, dan kaedah tradisional masih boleh dilakukan ke atas orang dewasa. Dari segi penyembuhan dan pantang larang lebih mudah kerana tuan badan lebih faham dari penjagaannya. Saya pernah menjaga kawan saya cina yang ingin berkhatan, sedikit sukar dan proses berjalan lebih mudah. Tapi pada usia begini, mereka perlu mengambil cuti rehat sekitar 1-2 minggu, mungkin tidak semua majikan membenarkan mereka bercuti sebegitu lama.
***
Kesimpulan - secara umum, usia bukan penghalang untuk berkhatan. Ada mereka berkhatan selepas usia 60 tahun. Jadi, berkhatan memang terbukti baik dari segi kesihatan dan kebersihan. Sebagai ibu bapa, adalah hak anda untuk tentukan bila untuk khatankan anak anda. Fikirkan juga masa depan dia, pengalaman dia dan juga jadikan berkhatan satu memori yang cukup indah buat anak anda.
Cuti sekolah 2017 akan bermula nanti.. Insyaallah saya akan ke Kedah dan buat sedikit temuramah bersama seorang Tok Mudim di sana.
#usiaberkhatan #berkhatan #bayi
jariemas
No comments:
Post a Comment