Wednesday, November 18, 2009

Musim berkhatan kembali 2009

Assalamualaikum...

Musim berkhatan kini kembali...

Ada pelbagai program berkhatan diadakan cuti ini. Ada yang mengadakan program secara besar-besaran, ada gak yang adakan secara kecil dan sederhana. Tapi lazimnya, majlis berkhatan beramai-ramai akan diadakan.

Macam-macam kaedah digunakan. Rata-rata memilih kaedah smart klamp, tapi ada juga kaedah konvensional (stich) ataupun tradisional (mudim).

Saya akan membuat kajian dalam kaedah berkhatan secara tradisional di beberapa buah tempat di utara tanah air. Semoga saya akan mendapat input dan dikongsi dengan pembaca budiman. Insyallah juga, input-input ini saya akan bukukan agar generasi akan datang tahu akan keunikan berkhatan secara tradisional ini.

Monday, October 19, 2009

Pengalaman berkhatan saya- Bahagian 1

Assalamualaikum,

Hari ini saya nak berkongsi pengalaman berkhatan saya pula...

Saya dikhatankan di klinik, umur saya 12 tahun. Saya masih ingat tarikh saya dikhatankan iatu pada 20 Mei 1996. Waktu itu saya darjah 6, semasa cuti pertengahan tahun..Bagaimana ia bermula...??

Sebenarnya semasa saya darjah 5, saya tak tahu kenapa ayah saya masih belum membawa saya berkhatan. Saya sendiri beberapa kali melihat kawan saya sudah selesai berkhatan. Mereka semua berkhatan di klinik ( paling popular ialah Klinik Rashid). Kata mereka, berkhatan di Klinik tak sakit. Selain berkhatan sambil baring, kita sendiri tak sedar bahawa proses berkhatan sudah selesai.

Zaman saya berkhatan adalah zaman kegemilangan berkhatan menggunakan kaedah jahitan (ada juga disebut kaedah konvensional). Kaedah ini menggunakan jahitan dan lazimnya memakan masa dalam 30 minit untuk selesai.

Semasa darjah 5, tok pernah memberitahu saya kenapa saya lewat dikhatankan. Ini kerana kemaluan saya "buta". (bagi mereka yang tak tahu-sila rujuk web circlist). Sudah beberapa kali datuk menasihatkan saya supaya melocehkan kemaluan, saya sudah berusaha tetapi ia tak dapat. Mungkin ia sudah semulajadi begitu. Huhuhu...

Pada tahun 1996, bermula kisah aku ingin dikhatankan. Semasa pulang ke kampung (dalam bulan Feb), ayah telah meminta atok untuk menghubungi seorang mudim di kampung ayah. Terkejut aku!! Kata ayah, dia ingin khatankan saya dan adik saya. Berderau darah apabilah mendengar nama tok mudim. Kawan-kawan saya tidak pernah dikhatankan dengan mudim, dan mereka mengatakan bahawa khatan dengan mudim ini sakit!!

Saya tiada pilihan. Hanya menurut sahaja perintah. Maklumlah anak sulung. Ayah pula mengatakan dia memang nak sunatkan saya dengan mudim. Ini kerana tok mudim mempunyai pengalaman dan tahu nak sunatkan kes-kes "buta" seperti saya ini.

Pada bulan Mac 1996, atok menelefon ayah. Katanya, tok mudim sudah pencen dan tak larat nak mengkhatankan orang lagi. Ayah memaklumkan perkara tersebut kepada saya, hati saya lega. Maklumlah budak-budak. berderau juga apabila mendengar nama tok mudim ini. Ayah menukar rancangannya. Setelah berbincang dengan ibu, ayah berpakat ingin mengkhatankan saya di klinik Sulaiman pada cuti pertengahan tahun nanti.Klinik Sulaiman itu terletak di kampung saya, ini bermakna saya akan pulang ke kampung cuti nanti.

Cuti pertengahan tahun 1996 selama 3 minggu. Kebetulan pula, cikgu sekolah saya ingin membuat kelas tambahan, tetapi ibu menelefon memberitahu bahawa saya boleh hadir pada hujung cuti sahaja. Gembira pun ada (sebab tak pergi kelas), takut pun ada (sebab akan dikhatan).

Setelah perancangan dibuat, secara rasmi, ayah telah membuat temujanji dengan klinik Sulaiman dan menyatakan tarikh saya dikhatankan.Saya akan dikhatan pada sesi petang (dalam jam 3pm) sekali dengan adik saya berumur 11 tahun.

Saya sendiri tidak boleh membuat gambaran apa yang berlaku..dan saya sendiri tak tahu apa yang saya rasa (takut, gembira, cuak)...pendek kata semua ada.

Sebelum cuti bermula, saya hanya berdiam diri dan tidak memberitahu kawan-kawan pun yang saya berkhatan cuti nanti. Malu pun ada (sebab ramai kawan saya dah khatan)..takut..hurm..memang ada...(walaupun saya tahu doktor pakai bius).

*bersambung...

Sejarah awal berkhatan (Malaysia)

(Artikel ini adalah tulisan saya sendiri berdasarkan kajian saya di dua buah tempat)

Assalamualaikum.

Tidak diketahui secara umum, bila tarikh atau masa sebenar amalan berkhatan dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun, kajian turut membuktikan bahawa ada kemungkinan amalan ini sudah bermula sejak kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi. Seperti yang kita sedia maklum, amalan berkhatan masyarakat Melayu, dipengaruhi dengan kepercayaan dari segi Islam.


Dalam amalan Islam, masyarakat arab rata-rata mengkhatankan anak mereka seawal 7 hari. Ini dipercayai memudahkan penjagaan selain itu ia tidak merumitkan ibubapa semasa mereka besar nanti. Berbeza dengan masyarakat melayu, amalan berkhatan lazimnya dibuat untuk kanak-kanak berusia lingkungan 10-12 tahun. Ada juga yang mengkhatankan anak
mereka semasa berusia 5
tahun.




"MUZIUM NEGARA MALAYSIA"

Saya sendiri telah ke Muzium Negara, membuat kajian umum sejarah awal berkhatan. Tiada bukti jelas bila ia mula diamalkan di Malaysia. Tetapi, amalan ini sebenarnya sudah sebati dalam kalangan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Berikut antara apa yang saya dapat di Muzium Negara (terima kasih)....

Pada zaman dahulu, berkhatan tradisioanal menggunakan buluh tajam.Tok mudim adalah orang yang bertanggungjawab dalam menjalankan upacara berkhatan ini. Jika dahulu, tok mudim adalah insan yang penting dalam sesuatu komuniti. Tarafnya sebaya dengan Tok Imam, Bilal, Ustaz dan seangkatan dengannya.

Pada zaman dahulu, boleh dikatakan setiap kampung mempunyai seorang tok mudim. Kemahiran tok mudim biasanya akan diwarisi oleh satu generasi ke satu generasi. Tok mudim biasanya menjalankan upacara berkhatan semasa cuti sekolah (kebiasaannya pada hujung tahun). Oleh itu, sementara menunggu cuti sekolah, lazimnya tok mudim akan bekerja sebagai petani atau penternak.

Jika dahulu, majlis berkhatan dibuat meriah selepas musim menuai. Mereka akan mengadakan majlis tersebut serentak dengan majlis Khatam Quran. Selain itu, majlis ini kebiasaan dibuat beramai-ramai dan kemeriahannya sama seperti majlis perkahwinan.

Berbeza pula di Istana. Majlis berkhatan untuk putera raja dibuat meriah, dan diisytihar antara hari kebesaran dalam negeri. Di Istana akan ada seorang mudim diraja. Mudim ini hanya berperanan mengkhatankan putera atau kerabat raja sahaja. Semasa upacara berkhatan, putera raja akan diselaputi dengan kain kuning dan acara ini disambut meriah dengan rakyat jelata. Ada juga negeri yang membuat perarakan diraja dimana putera akan dibawa sekeliling kawasan Istana.

Secara amnya berdasarkan pengamatan saya, masyarakat melayu amat mementingkan adat. Setiap yang mereka lakukan pasti ada sebab. Acara berkhatan secara tradisional memang sukar untuk kita lihat kini. Apatah lagi dengan pelbagai kaedah berkhatan yang jauh lebih cepat dan pantas.

Jika anda inginkan informasi, anda bolehlah datang ke Muzium Negara.Selain dari Muzium Negara, ada beberapa lagi Muzium di Malaysia turut mempamerkan amalan berkhatan seperti Muzium Diraja Kelantan, Muzium Terengganu dan Muzium Pulau Pinang (Insyallah, saya akan pergi nanti). Setelah tamat melawat Muzium Negara, saya bergerak ke destinasi kedua saya...

"FILEM NEGARA MALAYSIA"

Filem Negara Malaysia atau FNM adalah destinasi saya yang kedua. Kenapa?? Pada tahun 2003, FNM telah mengeluarkan satu dokumentari berjudul " Berkhatan: Meniti gerbang kedewasaan". Dokumentari ini telah menang pelbagai anugerah, termasuklah anugerah peringkat antarabangsa.

Saya telah membuat temujanji dengan pihak FNM untuk menonton dokumentari ini. Harapan saya supaya saya dapat sedikit gambaran mengenai amalan berkhatan masyarakat melayu. Alhamdulillah, video ini banyak membantu. Mungkin ia tidak terperinci, tetapi maklumat mengenai adat berkhatan ditunjukkan secara jelas.





(sedutan video: kanak-kanak dipangku semasa dikhatan)

Mengenai sejarah?? Ia tidak nyatakan. Ia cuma menyatakan bahawa masyarakat melayu sudah mengamalkan sejak zaman dahulu lagi. Amalan berkhatan ini sebenarnya sebagai satu simbol bagi kanak-kanak sebelum menuju alam kedewasaan.

Terima kasih pada tuan haji dan Cik Mazuria membantu. Sedikit sebanyak ada juga maklumat yang saya dapat melalui dokumentari ini. Insyaallah, maklumat ini saya akan kongsi dengan anda dalam artikel akan datang.

Anda boleh datang ke FNM untuk menonton video ini, tetapi buat mereka yang kuat semangat sahaja!!

Misi saya seterusnya ialah untuk melihat sendiri acara berkhatan yang dijalankan secara tradisional. Cuti sekolah sudah hampir tiba, sekiranya kawasan anda atau anda tahu mana-mana tempat yang akan mengadakan majlis berkhatan secara tradisional,
sila hubungi saya melalui e-mel : jariemas84@gmail.com

Terima kasih.

Thursday, September 24, 2009

Pengenalan : Berkhatan

* Artikel ini untuk berkongsi ilmu. Jika anda kurang selesa, jangan teruskan pembacaan. Terima kasih.

Apa itu khatan??

Saya rasa ramai yang tahu tapi tak ramai yang boleh menjelaskan ia dengan baik (mungkin saya pun sama..huhuhu). Baiklah, biar saya jelaskan secara umum apa itu khatan??

Berkhatan ialah memotong lebihan kulit pada kemaluan. Untuk lelaki, kulit dipotong adalah kulup, manakala wanita pula ialah kelentit. Saya tak mahu menceritakan amalan berkhatan wanita ( mungkin kerana saya lelaki), jadi saya ingin bercerita amalan berkhatan golongan lelaki.

Dalam kata lain, berkhatan disebut sebagai bersunat, masuk jawi, khitan dan Katan. Dalam bahasa Inggeris, berkhatan dipanggil sebagai circumcision.

Bagi lelaki Islam, berkhatan adalah wajib (menurut Imam Shafie). Malah ia adalah salah satu cara untuk kebersihan diri. Seseorang lelaki dilahirkan dengan kulup. Kulup ini akan bergerak ke belakang sekiranya zakar lelaki ini tegang. Ini akan mendedahkan glans. ( maaf tiada gambar-anda boleh rujuk link saya untuk gambar). Glans atau dalam bahasa mudah adalah kepala zakar. Ia sangat sensisitif. Apabila zakar ini kendur, kulup akan menutup kembali glans.

Kenapa ia bertujuan kebersihan?? Apabila lelaki itu membuang air kecil, najis mungkin akan terlekat pada kulup (lazimnya dalam keadaan zakar kendur). Walaupun dibasuh dengan air, berkemungkinan ada najis masih terlekat pada kulup.

Selain itu, berkhatan bertujuan untuk kesihatan dan mencegah pelbagai jenis penyakit. Hasil kajian beberapa pakar perubatan, berkhatan mengurangkan risiko jangkitan STD (penyakit kelamin) termasuk AIDS. Ia juga memberi kepuasan kepada pasangan (isteri) sekiranya suami berkhatan. Selain itu, berkhatan akan mencantikkan bentuk zakar, memudahkan ia dibersihkan dan juga amalan sunah rasulullah.

Pada hari ini, amalan berkhatan bukan bertujuan untuk agama semata-mata. Ramai bukan muslim juga turut berkhatan (termasuk di Malaysia) untuk kebersihan dan kesihatan. Ada juga agama (selain Islam mewajibkan berkhatan) seperti Agama Yahudi dan Kristian Katoliks ( penduduk di Filipina). Amalan berkhatan ini sebenarnya sudah bermula sejak zaman mesir lagi, dan tak hairan ada beberapa puak di Afrika yang mengamalkan berkhatan pada masa kini.

Di Malaysia, amalan ini masih berterusan. Ia diadakan atas sebab agama ( dan lain-lain). Untuk entri akan datang, saya akan ceritakan kepada anda semua asal usul khatan di Malaysia, hasil kaijan saya di beberapa muzium di Malaysia. (sumber: Muzium Negara).

Nukilan pemula : Jari emas

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera:

Terima kasih kerana mengunjungi blog saya ini. Ini adalah blog untuk kita semua berkongsi mengenai makluman secara am (mungkin terperinci) mengenai amalan berkhatan masyarakat melayu secara khususnya.

Sebelum saya menceritakan mengenai amalan berkhatan, elok kiranya saya ceritakan tentang diri saya. Saya berumur 25 tahun (pada masa artikel ini ditulis).Saya bukanlah doktor atau Tok Mudim, saya hanyalah penulis bebas dan suka membuat kajian mengenai budaya masyarakat melayu. Saya suka mengembara dan melancong ( mungkin saya akan bina satu blog khas untuk kaki melancong selepas ini).

Dan..untuk kajian saya dalam aspek kebudayaan melayu ialah berkhatan. Saya telah beberapa kali search dalam internet untuk mencari maklumat mengenai berkhatan
secara tradisional, malangnya ia tidak begitu mendalam. Jadi saya cuba membina blog ini yang khusus membincangkan amalan berkhatan dan prosedur berkhatan dalam budaya masyarakat melayu.

Blog ini bukanlah bertujuan untuk perniagaan atau promosi perkhidmatan. Ia adalah sekadar untuk maklumat dan informasi tambahan. Ia juga boleh digunakan sebagai rujukan generasi akan datang mengenai budaya berkhatan masyarakat melayu.

Insyallah..dari semasa ke semasa saya akan cuba kemaskini maklumat dalam blog ini. Saya juga dalam proses untuk membuat kajian ke beberapa kawasan di sekitar semenanjung untuk mencari mudim-mudim yang masih aktif menjalankan perkhidmatan berkhatan secara tradisional.

Saya dibesarkan dalam golongan sederhana. Saya akan ceritakan pengalaman berkhatan saya dalam entri akan datang. Tapi cukup untuk permulaan saya katakan yang saya dikhatankan oleh doktor. Minat saya untuk mempelajari kaedah berkhatan tradisional ini bermula sejak saya kecil lagi. Pada masa saya kecil (masa sekolah rendah) amat sukar untuk mencari golongan yang berkhatan dengan mudim.

Secara tidak langsung, amalan ini sudah semakin hari semakin pupus. Dengan kecanggihan teknologi pada zaman sekarang, wujud pelbagai cara berkhatan seperti kaedah smart klamp, anestia, Tara Klamp dan sebagainya. Dengan kata lain, hari ini berkhatan, hari ini sudah boleh main bola.

Melihat kepada keadaan diatas, ia adalah tanda kepupusan golongan mudim di Malaysia. Mungkin ada (masih aktif) tapi jumlah sedikit. Jadi, saya wujudkan blog ini (insyallah ada rezeki saya terbitkan buku) untuk panduan dan berkongsi maklumat mengenai berkhatan tradisional supaya ia boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Kesimpulannya, saya sebagai 'orang kecil' berusaha untuk mengembalikan budaya lama ini. Mungkin tak ramai yang inginkan perkhidmatan mudim, tapi sebagai generasi muda tak salah sekiranya kita belajar.

Saya amat alu-alukan pandangan pembaca mengenai blog ini. Kerjasama anda amat saya hargai.

Wednesday, September 23, 2009

Proses kemaskini

Assalamualaikum..

Laman blog ini dalam proses kemaskini. Harap bersabar. Terima kasih.