Tuesday, December 6, 2011

Naik rakit sebelum berkhatan

LUBUK MERBAU - Seramai 28 kanak-kanak berumur tujuh sehingga sembilan tahun diraikan dengan menaiki dua rakit di Sungai Nami pada Program Khatan Beramai-ramai di Dewan Merbau Muda, Felda Lubuk Merbau, di sini.

Program anjuran cawangan Umno dan Pemuda Umno Cawangan Felda Lubuk Merbau itu turut mendapat kerjasama daripada pihak homestay di situ, Jungle Resort Nami yang menyumbang dua rakit.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Felda Lubuk Merbau, Shareezam Saad, 36, berkata, idea meraikan kanak-kanak dengan menaiki rakit datang daripada golongan belia yang cuba mengadakan kelainan, selain mahu mengurangkan rasa takut peserta sebelum upacara khatan tradisional.

“Syukur akhirnya program ini berjaya diadakan dan paling penting semangat serta permuafakatan yang ingin dijalinkan oleh kami di kala-ngan penduduk Felda Lubuk Merbau membuahkan hasil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Felda Lubuk Merbau, Mohd Mokhtar Razali berkata, pihaknya sentiasa menyokong program yang telah dianjurkan sebanyak dua kali oleh golongan muda dan berharap ia akan diteruskan pada masa hadapan.

Menurutnya, pemilihan khatan secara tradisional bertujuan untuk mengekalkan tradisi lama walaupun Tok Mudim kini sudah turut mengaplikasikan cara moden dalam upacara khatan tradisional.

“Kini walaupun cara yang digunakan masih tradisional, tetapi ubat-ubatan daripada hospital digunakan oleh Tok Mudin. Cara tradisional itulah yang kita mahu kekalkan,” katanya.

Menurutnya, budaya bergotong-royong semasa program tersebut berlangsung dapat dilihat dan dia percaya budaya berkenaan akan pupus sekiranya tidak ada usaha untuk mengekalkannya.

sumber : Sinar Harian - Edisi Utara

Komentar:
Tahniah! Teruskan usaha dalam mengekalkan lagi warisan budaya melayu. Semoga ia menjadi kenangan sehingga ke anak cucu.

1 comment:

  1. terima kasih kerana berkongsi tip2/petua/pelbagai kisah tentang berkhatan.. byk beri info lebih2 lagik anak sulung saya baru saje berkhatan:)

    ReplyDelete