Sunday, January 2, 2011

Majlis Berkhatan Secara tradisional : Felda Trolak Sungkai

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar semua pembaca? Pertama sekali, mohon maaf atas kelewatan mengemaskini blog ini. Disebabkan saya agak sibuk dengan beberapa perkara yang lebih penting. Kedua, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyokong dan membaca blog saya. Tidak kurang juga yang berkongsi makluman dan pengalaman melalui facebook. Terima kasih.

Baiklah, diringkaskan cerita, untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya bersama dengan Tok Mudim di Felda Trolak, Sungkai, Perak. Majlis ini diadakan pada 4 Disember 2010. Terima kasih pada abang Timun ( En. Akmal) yang membantu saya untuk berjumpa dengan Pak Ngah ( tok mudim dari Selama, Perak). Malangnya, En. Akmal tiada pada hari tersebut kerana sibuk dengan urusan kenduri perkahwinan di Kuala Kangsar, Perak.


Majlis berkhatan ini bermula pada jam 8.30 pagi. Tapi saya tiba sedikit lewat, dalam jam 9.00 pagi. Ini kerana saya tersesat, dan kedudukan masjid Trolak agak jauh dari jalan besar. Saya terus berjumpa dengan Pak Ngah, tok mudim terkenal dari Selama, Perak. Untuk makluman, majlis berkhatan ini merupakan acara tahunan bagi komuniti di Felda Trolak. Pada tahun 2009, mereka turut menjemput Pak Ngah sebagai Tok Mudim, dan pada tahun 2010, sekali lagi Pak Ngah menjadi tok mudim bagi acara berkhatan ini.

Semasa saya tiba, acara bersiram sudah bermula. Seperti lazimnya, kanak-kanak disiram dengan pili bomba. Jika dahulu, kanak-kanak diwajibkan berendam di dalam sungai, tapi sedia maklum kini bukan mudah nak mencari sungai yang betul-betul bersih. Jika bersih pun, belum tentu selamat. Acara bersiram ini dilakukan bertujuan mengurangkan rasa gemuruh kanak-kanak sebelum mereka dikhatan.

Pak Ngah berada di belakang Masjid, iaitu di kawasan dapur. Disitu diletakkan tirai bagi memisahkan ruang kanak-kanak berehat dan tempat akan dikhatankan. Ia juga bagi menjaga aib kanak-kanak, dan tentunya tidak manis jika perempuan yang melihat proses berkhatan.

Pada hari tersebut, lebih kurang 40 orang kanak-kanak terlibat. Pak Ngah memaklumkan kepada saya, dia sudah berpengalaman lebih 40 tahun dalam kerja-kerja berkhatan. Pada majlis tersebut, seorang lagi tok mudim turut serta iaitu Pak Lang. Pak Lang merupakan saudara kepada Pak Ngah, dan muda dari Pak Ngah. Menurut Pak Ngah, pada hari tersebut, dia memerlukan dua orang tenaga kerja kerana jumlah kanak-kanak agak ramai, dan Pak Ngah pula tidak beberapa sihat.

Proses berkhatan bermula pada jam 9.30 pagi. Sebelum kanak-kanak dipanggil, mereka akan disuruh beratur dan mengambil giliran di luar. Pada masa itu, dua batang pisang diletakkan. Satu untuk Pak Ngah, dan satu lagi untuk Pak Lang. Saya? Saya berada bersama Pak Ngah, dan saya sendiri pula rasa seram sejuk ketika itu. Entah kenapa pula...hehe.

Pak Ngah menjampi batang pisang dengan beberapa bacaan suci Al-Quran. Tujuannya supaya majlis berjalan dengan lancar dan tiada masalah. Kemudian, Pak Ngah mengambil beberapa genggam beras, dijampi dan ditaburkan ke sekeliling batang pisang. Ritual sama turut dilakukan oleh Pak Lang. Saya melihat ritual ini sebagai suatu yang baru. Cara ini mengambarkan bahawa Tok Mudim sebenarnya mempunyai ilmu tertentu dalam menjalankan proses berkhatan. Bacaan suci Al-Quran menjadi penawar bagi menjalankan proses berkhatan dengan selamat.

Proses berkhatan pun bermula. Seorang demi seorang kanak-kanak dipanggil.Seperti biasa, pasti akan ada kanak-kanak menangis, menjerit dan tak kurang juga memanggil nama ibunya. Biasalah, mungkin mereka ketakutan dan kesakitan. Sama seperti proses berkhatan sebelum ini, kemaluan kanak-kanak akan diperiksa terlebih dahulu.

Semasa proses berkhatan, kanak-kanak akan didudukkan di atas batang pisang. 3 orang pembantu tok mudim akan memegang kanak-kanak tersebut. Sebelum memulakan kerja, tok mudim akan sekali lagi membaca doa-doa tertentu dan meniupkan nafasnya kepada ubun-ubun kanak-kanak tersebut. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kanak-kanak tersebut gemuruh ataupun tumpah darah.

Setelah itu, Pak Ngah mula memerika kemaluan kanak-kanak tersebut. Sama seperti proses sebelum ini, pemeriksaan adalah penting bagi memastikan sama ada kemaluan kanak-kanak tersebut buta ataupun tidak. Setelah itu, kemaluan akan ditekan dengan kuat, bagi melepas kulup dengan glan (kepala zakar). Ini bertujuan bagi memudah proses pemotongan dijalankan. Saya melihat semasa proses "pelepasan " ini dijalankan, ada kanak-kanak sudah mengadu sakit. Takpun geli. Bermakna, mereka boleh "rasa" semasa proses ini dijalankan. Bagi mereka yang tak tahu apa itu proses pelepasan, silalah rujuk entri2 saya yang lepas.


Setelah itu, barulah proses pelepasan dilakukan, barulah proses pemotongan dijalankan. Sebenarnya ada berbagai teknik dibuat sebelum proses pemotongan. Tok mudim akan menjampi bacaan tertentu dan menabur beras ke arah kemaluan kanak-kanak. Selepas itu, lebihan kulit akan disepit dengan penyepit khas, dan dicacakkan ke atas batang pisang. Selepas itu, barulah proses pemotongan dibuat.

Memang tidak dinafikan ada kanak-kanak menangis semasa proses ini. Maklumlah, kulit dipotong. Pembantu-pembantu yang lain akan cuba menteramkan kanak-kanak tersebut dengan menyuruh dia berselawat. Selepas itu, tok mudim akan membalut dan segalanya selesai.

Proses berkhatan secara tradisional tak memakan masa 10 minit pun. Prosesnya ringkas, tak perlu bius, dan tak perlu jahit. Tak perlu juga clamp ataupun peralatan moden. Bagi saya, tidak dinafikan sakitnya ketika proses berkhatan ( maklumlah, kulit dipotong). Baik tradisional mahupun moden, ada kalanya memang akan merasa sakit. Cuma kaedah moden ada bius, jadi kanak-kanak tidak merasa sakit ketika proses berkhatan.

Selesai kesemua kanak-kanak, saya sempat berbual dengan Pak Ngah. Menurut beliau, kaedah tradisional ini ada kelebihannya. Kanak-kanak akan jadi lebih berani dan kuat. Budak-budak zaman sekarang tak macam zaman dulu, mereka manja tak bertempat. Saya akui pendapat Pak Ngah, di Kuala Lumpur saya lihat macam-macam ragam ibu bapa yang terlalu manjakan anak. Kalau bab berkhatan, ada sanggup khatankan anak mereka di wad kelas pertama...fuh!

Menurut Pak Ngah lagi, cara tradisional ini tahan lama. Sebab apa? semua peralatan dan bahan digunakan adalah buatan semulajadi. Bukan dari bahan kimia. Kanak-kanak yang dikhatankan akan dibuka balutan dalam tempoh 3 hari selepas berkhatan. Pak Ngah berkata, paling mujarab menggunakan minyak gamat bagi rawatan luka berkhatan. Jika tidak aral melintang, kanak-kanak akan sembuh dalam tempoh 5-7 hari.

Pantang? Pak Ngah berkata juga, pantang larang harus dipatuhi bukan sahaja untuk cepat sembuh tapi untuk memastikan kanak-kanak berdisiplin. Kanak-kanak tidak digalakkan makan makanan gatal seperti makanan laut, dan juga ayam. Pantang larang ini sebenarnya bergantung pada individu, macam perempuan bersalin :-)

Majlis tamat sekitar jam 11am. Sebenarnya memang seronok menghadiri majlis berkhatan ini. Mungkin berkhatan moden, tidaklah terasa sangat, tapi jika dilihat berkhatan tradisional ini, macam-macam perkara berlaku. Kelakar pun ada. Ada yang meronta-ronta tidak mahu dikhatankan, menangis memanggil ibu, tak kurang juga yang maintain macho!! Memang seronok! Tapi paling seronok melihat ritual yang saya rasa sungguh unik dan menarik.

Harapan saya, moga majlis berkhatan secara tradisional ini diteruskan untuk masa-masa akan datang. Mungkin sukar kita nak jumpa terutama di kawasan bandar, tapi saya yakin berkhatan dengan tok mudim ini masih relevan, dan masih ada yang nak mahu terimanya.

Juga, saya harapkan generasi muda teruskan menyokong program khatan tradisional ini. Saya ada mendapat beberapa respon dari pembaca, yang mau menyokong perkara ini, terima kasih. Moga dapat sama-sama kita kekalkan budaya warisan kita ini.

Akhir kata, terima kasih pada Pak Ngah dan Encik Akmal Niezam. Sayang sekali tak dapat berjumpa dengan dia ( Akmal), dan harapnya tahun ini saya dapat berjumpa lagi dengan mereka semua.

Bagi mereka berminat nak sertai saya, sila e-mail saya, tapi lelaki sahaja...perempuan tak galakkan, maklumlah benda-benda ini berkaitan dengan aib, kurang sesuailah.

Baiklah, saya sertakan beberapa gambar ketika di sana. Koleksi lain saya muat turun dalam laman Facebook saya. Terima kasih. Untuk video, maaf saya tidak pamerkan atas dasar privasi.


Antara alatan berkhatan


Pak Ngah ( songkok Putih) mengkhatankan seorang kanak-kanak


Sebelum upacara bermula

Tak sah kalau takda bersiram..hurm



Bacaan doa sebelum memulakan proses

Ketika proses berlangsung