Wednesday, June 30, 2010

Mitos tentang berkhatan..

Salam..

Blog ini sentiasa akan dikemaskini mengikut masa dan keadaan. Sebagai pengarang, saya berterima kasih kepada mereka yang membaca. Saya dalam proses untuk menulis beberapa artikel di dalam bahasa inggeris supaya masyarakat luar faham tentang proses berkhatan masyarakat melayu.

Buat masa ini, biarlah saya menulis artikel berkonsepkan ringan terlebih dahulu sebelum saya melangkah jauh menulis pandangan secara profilik tentang amalan berkhatan. Baiklah, untuk entri kali ini, saya hanya nak berkongsi dengan saudara pembaca tentang mitos-mitos ( mungkin benar) tentang amalan berkhatan masyarakat melayu.

1. Makan Pedal ayam:-

Mitos : Jika kanak-kanak lelaki belum berkhatan makan pedal ayam, dikatakan akan sakit ketika berkhatan.

Pandangan saya :- Tidak ada bukti atau kaitan antara pedal ayam dan kesakitan ketika berkhatan. Sakit ketika berkhatan adalah umum. Bagi saya, larangan makan pedal mungkin kerana pedal adalah liat dan susah dihadam. Jadi, ia tak sesuai bagi kanak-kanak.

2. Berkhatan lambat, kulit liat:-

Mitos: Ada mengatakan berkhatan lambat, kulit khatan liat dan susah untuk dipotong.

Pandangan saya:-
Itu hanyalah jenaka, kerana kulit liat atau tidak bukanlah bergantung kepada umur kanak-kanak tersebut. Di negara seperti Afrika, mereka berkhatan ketika berumur 18 tahun. Ia masih boleh dijalankan..cuma dalam masyarakat melayu, amalan berkhatan dilakukan ke atas kanak-kanak, sebagai tanda/simbol bahawa mereka sudah dewasa, matang dan paling penting menjaga tatasusila mereka dengan kaum perempuan.

3. Jangan terpijak tahi ayam :-

Mitos: semasa proses penjagaan berkhatan, kanak-kanak tidak boleh keluar rumah dan jika memijak tahi ayam, mereka boleh bentan.

Pandangan saya:- Ia adalah isyarat dalam masyarakat melayu supaya kanak-kanak tidak keluar rumah dan banyakkan berehat semasa proses penyembuhan selepas berkhatan. Proses ini amat perlu, kerana jika kanak-kanak keluar rumah, dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan kuman terhadap luka berkhatan. Berkemungkinan juga akan menyebabkan bentan dan komplikasi yang lebih teruk.

4. Kurangkan minum air:-

Mitos:- Jangan minum air banyak, nanti akan bentan.

Pandangan saya:- Tiada kaitan air dengan bentan secara saintifik. Tapi, kerap minum air akan menyebabkan kanak-kanak tersebut kerap kencing. Ini sebenarnya akan menyukarkan dan melambatkan proses penyembuhan. Namun, semasa proses penyembuhan disarankan untuk makan makanan bergizi dan buah-buahan bagi membantu proses berkhatan cepat sembuh.

Saya rasa secara amnya, inilah beberapa mitos yang saya dengar tentang berkhatan. Sebenarnya ada banyak lagi mitos, mungkin anda boleh kongsikan bersama dengan saya..

Nampak gaya, bulan puasa sudah menjengah tiba....saya ucapkan selamat berpuasa buat semua..

jariemas

Tuesday, March 2, 2010

Batang Pisang



Pisang merupakan pokok yang paling mudah tumbuh di Malaysia. Kegunaannya banyak, dari buah, daun, hinggalah ke batangnya yang dipelbagai guna.

Buah pisang sudah semestinya enak dimakan begitu sahaja. Kaya dengan khasiat, ia boleh memberikan tenaga segera sekiranya kita dalam keadaaan lapar. Buahnya juga boleh dibuat pengat, kek, aiskrim dan macam-macam lagi.

Daun pisang pula dijadikan alas buat membungkus nasi lemak. Dalam masyarakat India, alas dibuat sebagai pinggan untuk makan nasi. Begitu juga dalam masyarakat melayu. Ia juga digunakan sebagai pelapik untuk apa juga perkara.


Itu daun dan buahnya....bagaimana dengan batangnya??

Sinonim dengan adat berkhatan secara tradisional, batang pisang adalah perkara wajib dalam upacara berkhatan ini. Dengan kata lain, batang pisang ibarat meja bedah kepada Tok Mudim. Tanpa batang pisang, kerja berkhatan sukar dijalankan.

Mungkin berkhatan zaman sekarang, batang pisang tidak lagi relevan. Cara moden tidak menggunakan batang pisang. Sebaliknya, kanak-kanak akan berbaring di atas katil, dan doktor akan melakukan proses berkhatan dengan mudah.

Baiklah, saya ceritakan sedikit fungsi batang pisang dan kaitannya dengan berkhatan cara tradisional. Dalam amalan berkhatan masyarakat melayu, batang pisang ibarat meja bedah semasa proses berkhatan dijalankan. Kalau di Indonesia, Turki, Filipina, kaedah berkhatan cara tradisional mereka tidak menggunakan batang pisang (ini saya akan kupas nanti). Dengan kata lain, amalan berkhatan masyarakat melayu adalah sesuatu yang amat unik sekali

Pokok pisang mudah tumbuh merata-rata. Jika di kampung, pokok pisang biasanya ditanam di atas batas-batas sawah. Batang pisang lembut, dan dalamnya berair. Untuk proses berkhatan, lazimnya batang pisang akan disediakan oleh tuan rumah. Batang pisang yang segar, kuat dan muda dipilih untuk proses berkhatan.

Untuk mengelak dari layu, biasanya batang pisang diambil sehari sebelum majlis berkhatan diadakan. Batang ini akan dikerat dalam 50cm.Semasa proses berkhatan, kanak-kanak akan duduk mengadap tok mudim di atas batang pisang.

Tok mudim akan menyepit kemaluan kanak-kanak dan mencucuk besi diatas batang pisang tersebut. Tujuannya, supaya kedudukan besi penyepit stabil dan tidak lari ketika kulup dipotong. Setelah dipotong, darah yang mengalir akan masuk terus ke dalam batang pisang tersebut. Pada saat ini, tok mudim akan mengelap batang pisang tersebut supaya ia kelihatan bersih sebelum kanak-kanak seterusnya dipanggil.

Penggunaan batang pisang jelas bersifat mesra alam. Batang pisang yang kotor atau rosak, akan terus dibuang. Ada juga tok mudim yang menyimpan lebihan kulup di dalam batang pisang (lazimnya setelah kesemua kanak-kanak dikhatankan), sebelum dibuang atau ditanam.

Jelas sekali, batang pisang sangat penting dalam acara berkhatan. Ia sesuatu yang amat unik, menarik sekali. Satu faktor juga kenapa batang pisang ini penting? Saya lihat kanak-kanak begitu teruja nak duduk diatas batang pisang, sampai lupa yang dia akan dikhatan selepas itu. Huhuhu.....

jariemas

Thursday, February 25, 2010

Pengalaman berkhatan saya-bahagian 2

Bersambung dari nukilan sebelum ini:-

Saya berkhatan di sebuah klinik di kampung saya.

Dengan kata lain menggunakan kaedah moden. Temujanji telah dibuat oleh ayah saya dan saya akan dikhatankan pada jam 3 petang. Cuak jugaklah..hari-hari saya membilang masa, bila masa itu akan sampai.

Akhirnya detik dan saat itu tiba jua. Hari tersebut, 20 Mei 1996, merupakan hari paling saya tidak boleh lupa dalam hidup saya. Saya akan berkhatan!!! Pagi-pagi, tok telah mengejut saya dan adik saya untuk bersarapan. Mak saya pula buat rendang ayam dan pulut kuning. Kemudian, tok telah menjemput seorang imam (merupakan kenalan rapat tok) untuk membacakan air jampi supaya saya ini tidak lemah semangat.

Detik itu sudah semakin hampir. Tepat jam 3 petang, saya sudah sampai ke klinik. Ayah menyuruh saya menukar kepada kain pelikat. Agak besar sikit, maklumlah budak kecik pakai kain...hehehe. Giliran saya dipanggil, dan saya merupakan orang pertama masuk ke dalam bilik pembedahan.

Doktor menyuruh saya membuka kain (mendedahkan kemaluan saya). Pada masa tersebut, ayah pun turut ada. Cuma atuk dan nenek saya sahaja berada di luar. Dia mula memeriksa kemaluan saya. "buta" dia kata. Doktor tersebut merupakan doktor lelaki, jadi taklah segan sangat.

Setelah memeriksa, dia mula menjalankan proses berkhatan. Saya tak beberapa ingat, tapi paling sakit waktu jarum bius mula disuntik.Memang sakit sangat! Tapi saya takdalah sampai tahap nak menjerit. Doktor menyuruh saya membaca surah-surah tertentu.

Setelah bius mula menjalar, kesakitan sudah tidak terasa. Apa yang doktor lakukan, hanya rasa ngilu sahaja. Cuma saya tak tahu apa yang dia lakukan. Perkataan yang saya ingat doktor kata, "Dah nampak kepala dia"...huhuhu. Baru saya faham apa yang dimaksudkan oleh doktor tersebut.

Setelah itu, doktor mula menjahit. Proses berkhatan ini mengambil masa yang agak lama. Adalah nak dekat 1 jam. Setelah dibalut, barulah saya dibenarkan bangun, menandakan proses berkhatan telah selesai.

Aduh...ngilu rasanya. Selepas itu, giliran adik saya pulak dikhatankan. Saya duduk di luar ditemani atuk dan nenek. Tak sampai 10 minit, saya dapat rasakan kesakitan amat ekstrem sekali....BIUS DAH HABIS!! Masa ini, tuhan sahaja tahu betapa sakitnya.

Terus terang, saya menangis waktu itu. Merengek...macam budak umur 5 tahun. Atuk siap tolong mengesat peluh..memujuk saya supaya tahan. Memang seksa nak menjadi dewasa ini rupanya...

Setelah semuanya selesai, saya pulang kembali ke rumah atuk. Proses seterusnya berpantang. Itu tak boleh...ini tak boleh...hahaha.Seksa ar gak. Lepas itu, 3 hari kemudian proses membuka balutan. Ini satu lagi penyiksaan. Memang saya menangis. Balutan dibuka oleh ayah saya.Memang sakit gila!!!

Setelah itu...barulah rawatan seperti meletakkan ubat gamat dan ubat salap dibuat. Alhamdulillah..tak sampai 2 minggu, saya sudah sihat seperti sedia kala.

Bila difikir balik, cara dan kaedah moden ini sebenarnya tidak juga mengelak dari kesakitan berkhatan. Apa-apapun kanak-kanak tetap merasa sakit.

Pertama ..sakit ketika zakar dicucuk (untuk tujuan bius)
Kedua ...sakit selepas bius habis...ini paling seksa...
Ketiga..sakit ketika balutan dibuka. Paling seksa kalau balutan belum cukup kering..adeh!!

Pendapat saya, walau ada pelbagai kaedah berkhatan, ia tetap akan ada kesakitannya..cuma risiko kesakitan rendah. Cuma bagi saya, kalau nak khatankan anak itu, biarlah umur dia besar sikit...kalau kecil sangat..pasti dia tak ingat saat-saat dia dikhatankan. Tapi saya bersyukur kerana melalui zaman itu pada usia 12 tahun. Jadi saya dapat ingat kenapa saya dikhatankan..kesakitan ketika dikhatan..dan pengalaman pahit manis sebelum menjadi dewasa.

****tamat***

Monday, February 15, 2010

Upacara berkhatan : Pulau Pinang

Assalamualaikum..

Maaf kepada pembaca budiman kerana tidak mengemas kini blog ini. Ini disebabkan saya agak sibuk dengan beberapa urusan peribadi tidak dapat dielakkan. Baiklah, bercerita kepada berkhatan tradisiona. bulan disember lepas saya telah ke beberapa buah kampung di Utara tanah air menyaksikan sendiri upacara berkhatan dengan tok mudim.

Ini pengalaman pertama saya menyaksikan tradisi tersebut. Apa yang boleh saya katakan, berkhatan cara lama ini, mudah, dan senang. Sakit?? memang tak dinafikan sakit. Tapi sesakit mana saya tak pasti.

Pertama, saya telah pergi ke Pulau Pinang, ke sebuah kampung yang terletak di kawasan Permatang Pauh. Majlis berkhatan di kampung-kampung masih lagi ada, dan orang utara ni memang masih percaya dengan khidmat tok mudim. Sebab apa? Saya tak pasti. Tapi salah satu sebabnya ialah nak mengekalkan tradisi. Tapi untuk faktor lain, saya tak beberapa pasti ia boleh pakai ke tak. Tapi apa yang saya nampak kanak-kanak yang berkhatan dengan mudim ini akan jadi lebih berani.

Majlis berkhatan dimulakan dengan bacaan doa selamat. Lepas itu, kanak-kanak akan dimandikan dengan pili bomba. Mungkin sebab banyak sungai tak bersih sekarang ini, alternatifnya...pili bomba. Seronok melihat gelagat kanak-kanak melompat.Rata-rata yang berkhatan berusia 7-11 tahun. Tapi ada gak yang berusia 4 tahun.

Selepas mandi...masa dinantikan...masa potong!!

Saya berada di tempat tok mudim semasa upacara memotong dijalankan. Memang seriau jugaklah..kalau anda takut darah, lupakanlah kalau nak tonton. Di sini, upacara memotong hanya boleh disaksikan oleh lelaki sahaja. Perempuan tidak dibenarkan menonton.

Kanak-kanak akan ditelanjang...(kain ditanggalkan) dan duduk diatas batang pisang (sama seperti menunggang kuda). Kaki mereka akan didepakan dan dipegang erat. Manakala kepala akan didongakkan ke atas.

Tok mudim akan memeriksa kemaluan kanak-kanak tersebut. Selepas memeriksa, dia akan melekangkan kulup dengan kepala zakar, bagaimana?? Dengan menekan sekuat mungkin. Biasanya proses ini dah membuatkan kanak-kanak menjerit. Tapi tak sakit.m Cuma terkejut sahaja.

Setelah itu, barulah tok mudim mengambil penyepit khasdibuat dari besi, ditarik hujung kemaluan dan dikepit. Hujung penyepit dicucuk diatas batang pisang. Dengan bacaan ayat al-Quran, tok mudim terus memotong kulit dengan menggunakan pisau khas. Reka bentuk pisaunya seperti pisau cukur di kedai gunting mamak.

Setelah pemotongan, besi penyepit dicabut. Tok mudim akan membetulkan lebihan kulit, mengesat darah, dan membalut luka. Setelah itu, baru kanak-kanak diangkat dan dibawa ke tempat berehat.

Sepanjang saya berada disana, semua kanak-kanak dikhatankan menangis. Menangis kerana kesakitan atau ketakutan?? saya tak pasti. Yang saya tahu, proses pemotongan dijalankan tak sampai 10 minit.

Itulah gambaran saya boleh beri secara kasar ketika saya melihat upacara berkhatan ini di Pulau Pinang. Tok mudim disini tidak menggunakan sebarang bius langsung. Maknanya kanak-kanak ini terpaksa menahan kesakitan.

Huhuhu....anda ada cerita?? kongsi bersama saya.

Berikut beberapa gambar ketika majlis tersebut diadakan di sana...




Wednesday, November 18, 2009

Musim berkhatan kembali 2009

Assalamualaikum...

Musim berkhatan kini kembali...

Ada pelbagai program berkhatan diadakan cuti ini. Ada yang mengadakan program secara besar-besaran, ada gak yang adakan secara kecil dan sederhana. Tapi lazimnya, majlis berkhatan beramai-ramai akan diadakan.

Macam-macam kaedah digunakan. Rata-rata memilih kaedah smart klamp, tapi ada juga kaedah konvensional (stich) ataupun tradisional (mudim).

Saya akan membuat kajian dalam kaedah berkhatan secara tradisional di beberapa buah tempat di utara tanah air. Semoga saya akan mendapat input dan dikongsi dengan pembaca budiman. Insyallah juga, input-input ini saya akan bukukan agar generasi akan datang tahu akan keunikan berkhatan secara tradisional ini.

Monday, October 19, 2009

Pengalaman berkhatan saya- Bahagian 1

Assalamualaikum,

Hari ini saya nak berkongsi pengalaman berkhatan saya pula...

Saya dikhatankan di klinik, umur saya 12 tahun. Saya masih ingat tarikh saya dikhatankan iatu pada 20 Mei 1996. Waktu itu saya darjah 6, semasa cuti pertengahan tahun..Bagaimana ia bermula...??

Sebenarnya semasa saya darjah 5, saya tak tahu kenapa ayah saya masih belum membawa saya berkhatan. Saya sendiri beberapa kali melihat kawan saya sudah selesai berkhatan. Mereka semua berkhatan di klinik ( paling popular ialah Klinik Rashid). Kata mereka, berkhatan di Klinik tak sakit. Selain berkhatan sambil baring, kita sendiri tak sedar bahawa proses berkhatan sudah selesai.

Zaman saya berkhatan adalah zaman kegemilangan berkhatan menggunakan kaedah jahitan (ada juga disebut kaedah konvensional). Kaedah ini menggunakan jahitan dan lazimnya memakan masa dalam 30 minit untuk selesai.

Semasa darjah 5, tok pernah memberitahu saya kenapa saya lewat dikhatankan. Ini kerana kemaluan saya "buta". (bagi mereka yang tak tahu-sila rujuk web circlist). Sudah beberapa kali datuk menasihatkan saya supaya melocehkan kemaluan, saya sudah berusaha tetapi ia tak dapat. Mungkin ia sudah semulajadi begitu. Huhuhu...

Pada tahun 1996, bermula kisah aku ingin dikhatankan. Semasa pulang ke kampung (dalam bulan Feb), ayah telah meminta atok untuk menghubungi seorang mudim di kampung ayah. Terkejut aku!! Kata ayah, dia ingin khatankan saya dan adik saya. Berderau darah apabilah mendengar nama tok mudim. Kawan-kawan saya tidak pernah dikhatankan dengan mudim, dan mereka mengatakan bahawa khatan dengan mudim ini sakit!!

Saya tiada pilihan. Hanya menurut sahaja perintah. Maklumlah anak sulung. Ayah pula mengatakan dia memang nak sunatkan saya dengan mudim. Ini kerana tok mudim mempunyai pengalaman dan tahu nak sunatkan kes-kes "buta" seperti saya ini.

Pada bulan Mac 1996, atok menelefon ayah. Katanya, tok mudim sudah pencen dan tak larat nak mengkhatankan orang lagi. Ayah memaklumkan perkara tersebut kepada saya, hati saya lega. Maklumlah budak-budak. berderau juga apabila mendengar nama tok mudim ini. Ayah menukar rancangannya. Setelah berbincang dengan ibu, ayah berpakat ingin mengkhatankan saya di klinik Sulaiman pada cuti pertengahan tahun nanti.Klinik Sulaiman itu terletak di kampung saya, ini bermakna saya akan pulang ke kampung cuti nanti.

Cuti pertengahan tahun 1996 selama 3 minggu. Kebetulan pula, cikgu sekolah saya ingin membuat kelas tambahan, tetapi ibu menelefon memberitahu bahawa saya boleh hadir pada hujung cuti sahaja. Gembira pun ada (sebab tak pergi kelas), takut pun ada (sebab akan dikhatan).

Setelah perancangan dibuat, secara rasmi, ayah telah membuat temujanji dengan klinik Sulaiman dan menyatakan tarikh saya dikhatankan.Saya akan dikhatan pada sesi petang (dalam jam 3pm) sekali dengan adik saya berumur 11 tahun.

Saya sendiri tidak boleh membuat gambaran apa yang berlaku..dan saya sendiri tak tahu apa yang saya rasa (takut, gembira, cuak)...pendek kata semua ada.

Sebelum cuti bermula, saya hanya berdiam diri dan tidak memberitahu kawan-kawan pun yang saya berkhatan cuti nanti. Malu pun ada (sebab ramai kawan saya dah khatan)..takut..hurm..memang ada...(walaupun saya tahu doktor pakai bius).

*bersambung...

Sejarah awal berkhatan (Malaysia)

(Artikel ini adalah tulisan saya sendiri berdasarkan kajian saya di dua buah tempat)

Assalamualaikum.

Tidak diketahui secara umum, bila tarikh atau masa sebenar amalan berkhatan dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun, kajian turut membuktikan bahawa ada kemungkinan amalan ini sudah bermula sejak kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi. Seperti yang kita sedia maklum, amalan berkhatan masyarakat Melayu, dipengaruhi dengan kepercayaan dari segi Islam.


Dalam amalan Islam, masyarakat arab rata-rata mengkhatankan anak mereka seawal 7 hari. Ini dipercayai memudahkan penjagaan selain itu ia tidak merumitkan ibubapa semasa mereka besar nanti. Berbeza dengan masyarakat melayu, amalan berkhatan lazimnya dibuat untuk kanak-kanak berusia lingkungan 10-12 tahun. Ada juga yang mengkhatankan anak
mereka semasa berusia 5
tahun.




"MUZIUM NEGARA MALAYSIA"

Saya sendiri telah ke Muzium Negara, membuat kajian umum sejarah awal berkhatan. Tiada bukti jelas bila ia mula diamalkan di Malaysia. Tetapi, amalan ini sebenarnya sudah sebati dalam kalangan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Berikut antara apa yang saya dapat di Muzium Negara (terima kasih)....

Pada zaman dahulu, berkhatan tradisioanal menggunakan buluh tajam.Tok mudim adalah orang yang bertanggungjawab dalam menjalankan upacara berkhatan ini. Jika dahulu, tok mudim adalah insan yang penting dalam sesuatu komuniti. Tarafnya sebaya dengan Tok Imam, Bilal, Ustaz dan seangkatan dengannya.

Pada zaman dahulu, boleh dikatakan setiap kampung mempunyai seorang tok mudim. Kemahiran tok mudim biasanya akan diwarisi oleh satu generasi ke satu generasi. Tok mudim biasanya menjalankan upacara berkhatan semasa cuti sekolah (kebiasaannya pada hujung tahun). Oleh itu, sementara menunggu cuti sekolah, lazimnya tok mudim akan bekerja sebagai petani atau penternak.

Jika dahulu, majlis berkhatan dibuat meriah selepas musim menuai. Mereka akan mengadakan majlis tersebut serentak dengan majlis Khatam Quran. Selain itu, majlis ini kebiasaan dibuat beramai-ramai dan kemeriahannya sama seperti majlis perkahwinan.

Berbeza pula di Istana. Majlis berkhatan untuk putera raja dibuat meriah, dan diisytihar antara hari kebesaran dalam negeri. Di Istana akan ada seorang mudim diraja. Mudim ini hanya berperanan mengkhatankan putera atau kerabat raja sahaja. Semasa upacara berkhatan, putera raja akan diselaputi dengan kain kuning dan acara ini disambut meriah dengan rakyat jelata. Ada juga negeri yang membuat perarakan diraja dimana putera akan dibawa sekeliling kawasan Istana.

Secara amnya berdasarkan pengamatan saya, masyarakat melayu amat mementingkan adat. Setiap yang mereka lakukan pasti ada sebab. Acara berkhatan secara tradisional memang sukar untuk kita lihat kini. Apatah lagi dengan pelbagai kaedah berkhatan yang jauh lebih cepat dan pantas.

Jika anda inginkan informasi, anda bolehlah datang ke Muzium Negara.Selain dari Muzium Negara, ada beberapa lagi Muzium di Malaysia turut mempamerkan amalan berkhatan seperti Muzium Diraja Kelantan, Muzium Terengganu dan Muzium Pulau Pinang (Insyallah, saya akan pergi nanti). Setelah tamat melawat Muzium Negara, saya bergerak ke destinasi kedua saya...

"FILEM NEGARA MALAYSIA"

Filem Negara Malaysia atau FNM adalah destinasi saya yang kedua. Kenapa?? Pada tahun 2003, FNM telah mengeluarkan satu dokumentari berjudul " Berkhatan: Meniti gerbang kedewasaan". Dokumentari ini telah menang pelbagai anugerah, termasuklah anugerah peringkat antarabangsa.

Saya telah membuat temujanji dengan pihak FNM untuk menonton dokumentari ini. Harapan saya supaya saya dapat sedikit gambaran mengenai amalan berkhatan masyarakat melayu. Alhamdulillah, video ini banyak membantu. Mungkin ia tidak terperinci, tetapi maklumat mengenai adat berkhatan ditunjukkan secara jelas.





(sedutan video: kanak-kanak dipangku semasa dikhatan)

Mengenai sejarah?? Ia tidak nyatakan. Ia cuma menyatakan bahawa masyarakat melayu sudah mengamalkan sejak zaman dahulu lagi. Amalan berkhatan ini sebenarnya sebagai satu simbol bagi kanak-kanak sebelum menuju alam kedewasaan.

Terima kasih pada tuan haji dan Cik Mazuria membantu. Sedikit sebanyak ada juga maklumat yang saya dapat melalui dokumentari ini. Insyaallah, maklumat ini saya akan kongsi dengan anda dalam artikel akan datang.

Anda boleh datang ke FNM untuk menonton video ini, tetapi buat mereka yang kuat semangat sahaja!!

Misi saya seterusnya ialah untuk melihat sendiri acara berkhatan yang dijalankan secara tradisional. Cuti sekolah sudah hampir tiba, sekiranya kawasan anda atau anda tahu mana-mana tempat yang akan mengadakan majlis berkhatan secara tradisional,
sila hubungi saya melalui e-mel : jariemas84@gmail.com

Terima kasih.