Tuesday, March 2, 2010

Batang Pisang



Pisang merupakan pokok yang paling mudah tumbuh di Malaysia. Kegunaannya banyak, dari buah, daun, hinggalah ke batangnya yang dipelbagai guna.

Buah pisang sudah semestinya enak dimakan begitu sahaja. Kaya dengan khasiat, ia boleh memberikan tenaga segera sekiranya kita dalam keadaaan lapar. Buahnya juga boleh dibuat pengat, kek, aiskrim dan macam-macam lagi.

Daun pisang pula dijadikan alas buat membungkus nasi lemak. Dalam masyarakat India, alas dibuat sebagai pinggan untuk makan nasi. Begitu juga dalam masyarakat melayu. Ia juga digunakan sebagai pelapik untuk apa juga perkara.


Itu daun dan buahnya....bagaimana dengan batangnya??

Sinonim dengan adat berkhatan secara tradisional, batang pisang adalah perkara wajib dalam upacara berkhatan ini. Dengan kata lain, batang pisang ibarat meja bedah kepada Tok Mudim. Tanpa batang pisang, kerja berkhatan sukar dijalankan.

Mungkin berkhatan zaman sekarang, batang pisang tidak lagi relevan. Cara moden tidak menggunakan batang pisang. Sebaliknya, kanak-kanak akan berbaring di atas katil, dan doktor akan melakukan proses berkhatan dengan mudah.

Baiklah, saya ceritakan sedikit fungsi batang pisang dan kaitannya dengan berkhatan cara tradisional. Dalam amalan berkhatan masyarakat melayu, batang pisang ibarat meja bedah semasa proses berkhatan dijalankan. Kalau di Indonesia, Turki, Filipina, kaedah berkhatan cara tradisional mereka tidak menggunakan batang pisang (ini saya akan kupas nanti). Dengan kata lain, amalan berkhatan masyarakat melayu adalah sesuatu yang amat unik sekali

Pokok pisang mudah tumbuh merata-rata. Jika di kampung, pokok pisang biasanya ditanam di atas batas-batas sawah. Batang pisang lembut, dan dalamnya berair. Untuk proses berkhatan, lazimnya batang pisang akan disediakan oleh tuan rumah. Batang pisang yang segar, kuat dan muda dipilih untuk proses berkhatan.

Untuk mengelak dari layu, biasanya batang pisang diambil sehari sebelum majlis berkhatan diadakan. Batang ini akan dikerat dalam 50cm.Semasa proses berkhatan, kanak-kanak akan duduk mengadap tok mudim di atas batang pisang.

Tok mudim akan menyepit kemaluan kanak-kanak dan mencucuk besi diatas batang pisang tersebut. Tujuannya, supaya kedudukan besi penyepit stabil dan tidak lari ketika kulup dipotong. Setelah dipotong, darah yang mengalir akan masuk terus ke dalam batang pisang tersebut. Pada saat ini, tok mudim akan mengelap batang pisang tersebut supaya ia kelihatan bersih sebelum kanak-kanak seterusnya dipanggil.

Penggunaan batang pisang jelas bersifat mesra alam. Batang pisang yang kotor atau rosak, akan terus dibuang. Ada juga tok mudim yang menyimpan lebihan kulup di dalam batang pisang (lazimnya setelah kesemua kanak-kanak dikhatankan), sebelum dibuang atau ditanam.

Jelas sekali, batang pisang sangat penting dalam acara berkhatan. Ia sesuatu yang amat unik, menarik sekali. Satu faktor juga kenapa batang pisang ini penting? Saya lihat kanak-kanak begitu teruja nak duduk diatas batang pisang, sampai lupa yang dia akan dikhatan selepas itu. Huhuhu.....

jariemas